18 May
0

17th May 2017 Ramadhan akan datang

Posted By: Zuheira Times Read: 584

Dalam masa lebih kurang 10 hari, bulan Ramadhan yang mulia akan tiba lagi untuk kesekian kalinya. Ramadhan kali ini amat berbeda untuk Zuheira kerana buat pertama kalinya kami akan begitu sibuk dengan pelbagai aktiviti promosi dan pemasaran Zuheira. Oleh kerana tuntutan pelbagai aktiviti tersebut, kami tidak akan berpeluang untuk menyambut Ramadhan bersama sebagai satu keluarga sepertimana biasa dan akan dinafikan kelapangan masa seperti tahun-tahun sebelumnya untuk dimanfaatkan sepenuhnya kepada bulan yang mulia ini. Kami merasa terganggu kerana sepatutnya lebih banyak masa dimanfaatkan untuk mengimarahkan bulan yang mulia ini, di samping berbuka dan beibadah sebagai satu keluarga. Dilema ini mencetuskan keraguan dan ketidakpastian di hati, sama ada keputusan untuk menjadi seorang usahawan ini adalah sesuatu yang baik atau tidak baik, dalam proses mengejar kejayaan dunia dan akhirat. Hati tambah meruntun bila berada jauh dari dakapan keluarga tesayang, terbayangkan hilai tawa dan wajah anak-anak disekeliling meja menunggu waktu berbuka. Namun, kami harus memantapkan iltizam dan mengingatkan diri akan niat dan tekad asal menceburi bidang perniagaan ini. Sesungguhnya untuk mendapatkan sesuatu yang baik itu selalunya sukar dan setiap yang indah itu perlukan pengorbanan. Sejarah orang-orang terdahulu banyak menunjukkan bahawa jalan yang mudah dan tidak berliku itu tidak semestinya membawa ke syurga dan pengembaraan penuh air mata kadang-kadang lebih bermakna dan banyak pahalanya. Walau berat di hati dan rasa sedih yang menghantui diri, Zuheira tetap menggagahkan diri untuk menelusuri jejak-jejak ini, berbekalkan keyakinan bahawa Allah itu Maha Mengetahui, Maha Mengasihi dan Maha Mengasihani, untuk mengenalpasti bahawa perjalananan ini dimulakan dengan niat yang suci, penuh keikhlasan dari hati, demi mengejar keberkatan hakiki. Bukankah berpenat lelah mencari rezeki dan meningkatkan usaha untuk memperbaiki diri dan situasi, bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk komuniti juga adalah sesuatu yang dituntut dan diredhai ? Kami dengan penuh rendah diri memanjatkan doa agar semua usaha ini akan dicatatatkan sebagai ibadah di bulan yang mulia ini. Ya Allah, kepadamu kami pasrah….terimalah dan permudahkanlah….

Related Posts
Comments
Write Comment
Dibina oleh KedaiOnlinez
Zuheira Collection © 2021